‘SERANGAN’ Gabungan NGO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos terhadap kerajaan Selangor diteruskan lagi apabila kali ini sebanyak 16 buah van jenazah dan keranda dibawa ke pintu hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam, pagi tadi.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dalam ucapannya berkata, tindakan mereka adalah sebagai tanda bantahan susulan skandal penyelewengan dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor.
Jamal yang tiba di pintu masuk utama SUK kira-kira jam 11 pagi bersama pengikutnya yang memakai baju berwana merah, mengusung keranda serta cangkul untuk masuk ke dalam kawasan bangunan SUK.
Namun, tindakan mereka dihalang pasukan keselamatan dan berlaku pertengkaran mulut antara kumpulan Jamal dengan sekumpulan lelaki yang dipercayai penyokong kerajaan PKR Selangor yang cuba membuat provikasi terhadap ucapan Jamal sehingga menimbulkan kekecohan.
Keadaan tegang tersebut berjaya dikawal selepas anggota polis meleraikan perhimpunan itu dan mengarahkan Jamal supaya pulang.
Disember lalu, Jamal membuat kejutan apabila tampil dengan hanya bertuala, membawa gayung, sabun dan berus gigi di Bangunan SUK Selangor dengan niat ingin menumpang mandi.
Tidak sampai sebulan iaitu pada Januari lalu, Jamal kembali ‘menyerang’ SUK dengan membawa deretan katil bujang serta bantal yang disusun cantik depan pagar, sebagai simbolik membantah lambakan rumah urut di Selangor. – MYNEWSHUB.CC