SEPANG – Pelumba Movistar Yamaha, Maverick Vinales dan Valentino Rossi terus menampilkan kemajuan pada hari terakhir ujian musim sejuk pra musim MotoGP pertama di Litar Sepang, hari ini.
Biarpun keadaan trek yang mencabar, Vinales mendahului senarai pelumba pada ujian berkenaan, manakala juara dunia tujuh kali kelas utama (600cc dan MotoGP), Rossi berada di kedudukan kelima.
Vinales, yang baru mengikat kontrak bersama pasukan berkenaan, mencatat masa terpantas sepusingan satu minit 59.368 saat di pusingan ke-40 daripada keseluruhan 72 pusingan yang dilakukannya pada sesi ujian hari ini.
Catatannya itu kekal sebagai masa sepusingan terpantas selepas berakhir ujian rasmi berkenaan yang berlangsung selama tiga hari di Litar Sepang.
Dalam pada itu, Rossi dilihat berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukannya iaitu di bawah dua minit yang direkodkan pada hari terakhir ujian tersebut.
Beliau mencatat 1:59.589s di pusingan ke-50 daripada 62 pusingan yang dilakukannya, iaitu ketinggalan 0.221s di belakang rakan sepasukannya itu.
Juara bertahan dari Sepanyol, Marc Marquez yang mengetuai cabaran Repsol Honda Team berada di kedudukan kedua, manakala juara MotoGP Malaysia tahun lepas, Andrea Dovizioso yang mewakili Ducati Team di tempat ketiga, dengan masing-masing mencatat 1:59.506s dan 1:59.553s
Keadaan trek yang kering membolehkan pasukan memanfaatkan kemudahan yang ada bagi menguji jentera baharu mereka dan mengumpul maklumat berharga menjelang perlumbaan musim ini yang akan bermula di Litar Losail di Qatar pada 26 Mac. – BERNAMA