KEMAMAN – Dua warga emas antara 12 yang diberkas ketika leka bermain judi ikan laga dalam serbuan di sekitar kawasan Kampung Air, Mak Chili, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata kesemua mereka yang bekerja sebagai buruh kampung dan penggangur itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 30 botol ikan laga dan beberapa peralatan yang digunakan dalam judi itu.
“Ini adalah kes pertama yang berjaya kita bongkarkan dan mereka ini mengambil kesempatan ketika orang ramai sedang mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya siastan lanjut sedang dijalankan dan kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA