ALOR SETAR – Seorang lelaki warga emas, Yap Kon Hin, 65, melecur pada tangan dan muka akibat disambar api apabila rumahnya di Taman Asas Jalan Alor Merah, di sini, terbakar kira-kira 7 pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mangsa mengalami kecederaan ketika berusaha memadamkan api di bahagian dapur rumahnya menggunakan alat pemadam api sementara pembantu rumahnya keluar mendapatkan pertolongan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu bersama pembantu rumahnya berusia 20-an sedang memasak kuih-muih untuk diedarkan di kedai sekitar daerah ini.
“Kita masih menjalankan siasatan dan percaya dalam keadaan dapur yang dipenuhi surat khabar dan kabinet kayu itu, api lebih mudah menyambar dan marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dikejarkan ke lokasi sekitar 7.13 pagi tadi selepas menerima maklumat awal pada 7.05 pagi.
Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati sebuah rumah teres terbakar terutama di bahagian dapur.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan ketika kejadian isterinya, berusia 60-an dan dua anak berusia 30-an tiada di rumah,” kata Nur Hafizah.
Mangsa yang melecur dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. – BERNAMA