MUKAH – Seorang warga emas yang hilang semasa keluar mencari buah asam paya di hutan di Jalan Kampung Bakong, Oya, di sini sejak pagi Jumaat ditemui selamat petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Bonny Martin berkata mangsa, Sidek Bakrii, 75, ditemui penduduk kampung dalam keadaan lemah dan letih.
Menurutnya, warga emas itu ditemui pada pukul 3.45 petang di kawasan berhampiran Kampung Bakong.
Katanya, satu pasukan dengan kekuatan empat anggota digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kehilangan pada pukul 3.21 petang Jumaat lepas.
Beliau berkata warga emas itu dilaporkan telah keluar rumah pada pukul 10 pagi tetapi apabila gagal kembali ke rumahnya, waris mangsa membuat laporan untuk mendapatkan bantuan. – BERNAMA