IPOH – Proses pemilihan dua Anggota Dewan Negara akan diadakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan mula bersidang selama enam hari bermula 4 April ini, kata Speaker S. Thangasvari.
Beliau berkata proses pemilihan itu diadakan bagi menggantikan bekas Anggota Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai senator pada 20 April depan.
“Pemilihan akan dibuat secara undian dan pemilihan baharu ini juga akan berkuat kuasa 21 April ini,” katanya pada sidang media menjelang Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima DUN Perak ke-13 di sini hari ini.
Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima DUN Perak Ke-13 akan diadakan pada 4 hingga 11 April depan (tidak termasuk Sabtu dan Ahad) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, dengan istiadat pembukaan akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Menurut Thangasvari lagi, Jalan Panglima Bukit Gantang berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan akan ditutup sewaktu istiadat pembukaan yang bermula dari pukul 8 hingga 10 pagi, Selasa depan. – BERNAMA