KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyimpan 10 ekor hidupan liar tanpa lesen termasuk Lotong Cengkung dan Musang Pulut, dua hari lepas.
Intan Mazura Mohd Mokhtar, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, wanita itu didakwa menyimpan masing-masing dua ekor Musang Pulut jantan dan seekor Musang Pulut betina tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi dibawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010(Akta 716).
Pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menyimpan masing-masing seekor Lotong Cengkung jantan dan enam ekor Lotong Cengkung betina tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama akta sama.
Pertuduhan bagi menyimpan hidupan liar jantan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menyimpan hidupan liar betina tertuduh didakwa mengikut Seksyen 62 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu sebuah kediaman di Jalan Ampang Kiri, No.6, Desa Pasifik di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Nazarudin Kamarudin menawarkan jaminan RM30,000 untuk kesemua pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan menangis dan memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan dia menanggung seorang anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, seorang peniaga warga Pakistan turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan masing-masing menyimpan dua ekor Lotong Cengkung jantan dan seekor Lotong Cengkung betina tanpa lesen mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Shabbir Ahmed Khan, 46, didakwa melakukan perbuatan itu di pagar Masjid Al Hidayah, Sentul di sini pada 6 petang, 27 Mac lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 21 April bagi sebutan semula kes. – BERNAMA