ALOR GAJAH – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah meminta dua individu agar tampil untuk menjadi saksi dalam perbicaraan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi Melaka.
Pegawai Penyiasat bahagian itu Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad berkata G Mahendar Kumar, 27, dan G Nantha Kumar, 21, diperlukan hadir pada pukul 8 pagi di mahkamah pada 13 dan 14 Mac ini.
“Kita telah mencari (individu tersebut) berdasarkan alamat mereka namun mereka tidak ditemukan, namun kedua-dua penama ini dipercayai masih berada di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Kedua-dua lelaki ini perlu hadir sebagai saksi berhubung tangkapan kes di Taman Seri Bayan, Durian Tunggal pada 24 Ogos 2015,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Hafizi berkata orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat mengenai individu itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi beliau di talian 011-29697676 atau bahagian itu di talian 06-5562222 sambungan 219. – BERNAMA