JOHOR BAHRU – Seorang bayi lelaki merupakan antara 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan dalam operasi Landai di Hutan Pantai Punggai, Sungai Rengit di Kota Tinggi, malam tadi.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Supt Shaari Ariffin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki, empat wanita dan bayi itu yang kesemuanya berusia antara sembilan bulan dan 49 tahun.
“Secara lisan, mereka mengaku ingin pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Mereka telah bersembunyi dalam hutan tersebut selama dua hari dan tidak diberi makan oleh kumpulan sindiket sepanjang tempoh menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shaari, operasi yang dijalankan mulai pukul 8 malam itu adalah hasil maklumat risikan.
Katanya kesemua PATI telah dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan, katanya. – BERNAMA