KUALA LUMPUR – Pelakon Rozita Che Wan memberitahu anak perempuannya iaitu Aaisyah Dhia Rana tidak berminat untuk bermain dengan alat permainan yang kebiasaan disukai kanak-kanak seusianya.
Sebaliknya kata Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, Aaisyah yang berusia dua tahun empat bulan lebih berminat dengan barang-barang seperti alat solek, tas tangan dan kasut.
“Jika hendak diikutkan banyak permainan yang saya beli untuknya tetapi dia memang tak berminat.
“Tapi kalau beg, kasut, gincu dia memang suka sangat sehingga saya memang tak boleh bawa dia ke kedai beg tangan kerana semua benda dia nak suruh beli,” katanya kepada mStar Online.
Che Ta, 44, ditemui pada sidang media pelancaran program realiti yang menampilkan Aaisyah iaitu Little Princess Aaisyah di sini, Rabu.
Rancangan itu bakal menemui penonton bermula 12 April depan setiap hari Rabu pada pukul 9 malam.
Ia akan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Disebabkan perkara itu, Rozita berkata dia mengupah seorang guru ke rumahnya untuk bermain dengan Aaishah menggunakan alat permainan kanak-kanak.
Kata Che Ta, bantuan profesional itu banyak membantu dalam mengenal pasti kaedah yang betul dalam menarik perhatian Aaisyah untuk bermain seperti kanak-kanak lain.
“Cikgu itu datang sekali seminggu hanya untuk bermain dengan Aaisyah dan sambil-sambil itu pun banyak juga maklumat yang saya dapat demi kebaikannya.
“Alhamdulillah reaksinya sangat positif kerana pada usianya sekarang dia cepat ikut dan bertindak balas terhadap apa yang didengar dan lihat,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta menyifatkan tawaran Aaisyah tampil menerusi program realitinya sendiri sebagai rezeki selain dapat berkongsi kehidupan dan perkembangan seharian anaknya itu bersama peminat.
“Walaupun saya sering memuat naik gambar dan video Aaisyah di Instagram tetapi ia tidak menggambarkan secara keseluruhan diri anak saya itu.
“Menerusi program ini banyak perkara eksklusif dan menarik yang akan dipaparkan tentang kehidupan sehariannya dengan penonton.
“Pada saya ini adalah rezekinya namun tidaklah semua perkara kita dedahkan kepada umum,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata, dia tidak dapat membendung tanggapan negatif masyarakat jika ada yang beranggapan tindakannya itu tidak patut dilakukan.
Paling penting niatnya untuk berkongsi pengalaman dan tip membesarkan Aaisyah kepada penonton.
“Ini rezeki Aaisyah dan sekurang-kurangnya pendapatan daripada program ini dapat saya simpan dalam akaunnya untuk kegunaan dia pada masa depan.
“Saya harap program ini bukan sahaja menghiburkan dengan aksi Aaisyah yang lincah tetapi dapat memberi manfaat kepada ibu-bapa menerusi perkongsian tip daripada saya dan suami.
“Perkara-perkara negatif itu memang tidak dapat dielakkan dan jika kita mahu fokus hanya kepada apa orang cakap memang tak akan jadi apa,” katanya. – mStar Online