TAHNIAH diucapkan kepada penyanyi terkenal, Adira Suhaimi telah pun selamat melahirkan anak sulung, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Berita gembira itu dikongsi oleh suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Dato Red menerusi laman Instagram.
Adira melahirkan bayi seberat 3.2 kilogram itu secara pembedahan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Pada masa yang sama, Adira turut mendedahkan nama anak sulungnya iaitu Anggerik.
“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan cahaya mata sulung namun memerlukan rehat kerana masih lemah dan sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu.
“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan saya dan bayi.
“Nama Anggrek dipilih kerana saya meminati bunga klasik itu dan sudah lama menyimpan hasrat untuk menamakan anak sulung dengan panggilan ringkas itu,” katanya kepada BH Online.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Berita perkahwinan ini pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu kerana Adira berkahwin secara diam-diam dan menjadi isteri kedua kepada Dato’ Red. – MYNEWSHUB.CC