KUALA TERENGGANU – Hampir 75 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat dengan program Trenglish pada tahun lepas berjaya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) berkata ia adalah peningkatan ketara berbanding 71.43 peratus pelajar yang lulus mata pelajaran itu pada 2015.
“Ini membuktikan program Trenglish itu berjaya melonjakkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, namun sayang sekali kerana dari 501 sekolah di Terengganu, program itu hanya dilaksanakan di 50 sekolah sahaja….hanya sekitar 10 peratus.
Sehubungan itu, saya berharap kerajaan negeri dapat melihat semula pelaksanaan program ini, agar dapat diperluaskan kepada lebih banyak sekolah, mungkin 250 sekolah dalam masa terdekat,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Program Trenglish mula diperkenalkan di Terengganu pada 2014 hasil kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dengan pendekatan interaktif yang berteraskan komunikasi seperti kem Trenglish, drama dan nasyid.
Bazlan juga berharap kerajaan negeri dapat memperkasakan semula sekolah-sekolah elit dan perdana di Terengganu dengan mengaktifkan beberapa bidang yang boleh menonjolkan kreativiti pelajar seperti robotik, aeronatik, memanah, astronomi dan sukan berkuda.
“Satu ketika dahulu, sekolah-sekolah ini sering menjadi pilihan pelajar cemerlang, namun akhir-akhir ini ia agak suram…mungkin ia kembali menjadi rebutan sekiranya ada keistimewaan dan keunikan tersendiri di sekolah tersebut,” katanya.
Menyentuh isu hakisan pula, Bazlan berharap kerajaan negeri akan mengambil langkah pencegahan untuk memastikan kawasan pesisir pantai di Batu Rakit tidak akan terjejas dengan ancaman itu pada masa akan datang.
“Sekarang ini, ancaman hakisan kritikal berlaku di Kampung Gelam, Mengabang Telipot. Saya khuatir jika tiada langkah pencegahan serius, ia akan merebak ke Mengabang Lekor, kasihan nanti kepada penduduk yang terpaksa menanggung kerugian harta benda sekiranya rumah mereka rosak akibat hakisan,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan pembinaan sebuah masjid baharu di Batu Rakit yang telah dijanjikan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Proses mengambil balik tanah sudah selesai, cuma sekarang masih menunggu peruntukan untuk bina masjid baharu sahaja, mungkin ia boleh disegerakan demi keselesaan penduduk Batu Rakit,” katanya. – BERNAMA