SEJAK minggu lalu kecoh di media sosial mengenai polisi bagasi penumpang tidak boleh melebihi 7 kilogram (kg) yang semakin diperketatkan oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.
Polisi baru ini memaklumkan bahawa penumpang hanya boleh membawa satu bagasi yang tidak melebihi ukuran saiz (56cm x 23cm x 26cm) dan barang peribadi yang kecil seperti komputer riba ataupun beg tangan. Berat kedua-dua barang ini mestilah tidak melebihi 7kg.
Sekiranya bagasi melebihi berat yang telah dimaklumkan, penumpang akan dikenakan denda sebanyak RM200 dan bagasi itu akan diambil untuk didaftarkan sebagai checked baggage.
Bagaimanapun, polisi bagasi kabin yang diperkenalkan AirAsia ini mendapat kritikan dan telah menimbulkan rasa tidak puas hati penumpang.
Antaranya, mereka yang terdiri daripada golongan backpackers kerana berpendapat polisi baru ini akan menyusahkan penerbangan dan merumitkan lagi keadaan di lapangan terbang.
Seorang pengguna Facebook yang bernama James Boon telah memuat naik sebuah gambar dimana beliau telah berkongsi situasi sesak yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Beliau berpendapat bahawa polisi baru yang diperketatkan oleh AirAsia ini akan membuat lagi keadaan di lapangan terbang bertambah teruk.
Dalam gambar tersebut, keadaan menunjukkan kesesakan telah berlaku di kaunter bagasi di mana para penumpang mengambil masa yang lama untuk mendaftar bagasi mereka.
Jadi, kalau undang-undang ini diperketat, bayangkan apa akan terjadi?
Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataan menjelaskan, kakitangan mereka sedia berkhidmat bagi membantu memudahkan urusan para penumpang ketika urusan mendaftar masuk bagasi di kaunter.
Mereka juga mengingatkan penumpang agar tiba lebih awal di lapangan terbang, sekurang-kurangnya tiga jam sebelum jadual penerbangan.
Polisi bagasi 7kg ini merupakan prosedur standard bagi kebanyakan syarikat penerbangan lain seperti Australia, Singapura dan Emirates. – MYNEWSHUB.CC