SUPERMODEL terkenal Alessandra Ambrosio menerusi laman Instagramnya, alessandraambrosio berkongsi sekeping foto ketika menikmati snek eksotik popular di Chengdu wilayah Sichuan, China.
Menerusi foto itu Ambrosio dilihat memegang seekor kala jengking yang dicucuk pada sebatang kayu pencucuk sambil mulutnya ternganga dengan kapsyen berbunyi “Snack time#WheninChina.”
Peluang berada di China tidak dilepaskan oleh model beranak dua ini untuk menikmati hidangan eksotik dan mengenali budaya tempatan.
Dia juga tidak melepaskan peluang dengan berkunjung ke Madame Tussauds di Shanghai yang terkenal menempatkan patung lilinnya.
Kunjung Ambrosio ke China adalah untuk memperomosikan pakaian dalam jenama terkenal Victoria Secret (VS) yang baharu sahaja membuka cawangannya di negara itu pada bulan lalu.
Selain itu, ia sebagai persediaan untuk pertunjukkan fesyen akan datang. Ambrosio merupakan antara barisan model yang pernah berjalan di pentas peragaan jenama pakaian dalam terkenal itu.
Selain Ambrosio, beberapa model terkenal VS seperti Josephine Skriver serta model kelahiran negara itu Sui He dan Ming Xi yang menjadi penghias jenama VS turut berada di sana.
Difahamkan untuk pertunjukkan fesyen tahun ini akan diadakan di China pada musim luruh depan namun maklumat terperinci mengenai acara itu belum lagi diputuskan oleh syarikat jenama pakaian dalam terkenal itu.
Namun ura-ura mengatakan bahawa ia akan diadakan pada bulan November dan disiarkan di Amerika Syarikat pada Disember. – MYNEWSHUB.CC