SEORANG profesor bernama Robert E Kelly dalam sekelip mata menjadi popular di seluruh dunia selepas video temu ramahnya bersama stesen BBC menjadi tular menerusi laman sosial.
Video yang tersebar itu mendapat perhatian bukan kerana perbincangan menarik yang dikupas mereka sebaliknya, gara-gara kemunculan dua anak yang selamba masuk ke biliknya ketika sedang bersiaran langsung.
Ini sekali gus menjadikan temu ramah serius mengenai topik Korea Selatan dan Korea Utara ini bertukar menjadi lucu!
Apa tidaknya, ketika Robert sedang memberi penjelasan secara profesional selaku individu yang berilmu dalam bidang sains politik, tiba-tiba anak perempuannya masuk ke biliknya dengan gaya yang riang sambil berjoget.
A proper thing nowpic.twitter.com/kHlur4brRZ
— Old Holborn✘ (@Holbornlolz) March 10, 2017
Robert yang nyata terkejut lantas meminta maaf dan meneruskan temuramah meskipun kelihatan agak kekok.
Pun begitu, suasana menjadi lebih menghiburkan apabila tiba-tiba si kecil (anak keduanya) masuk ke dalam bilik tersebut menggunakan kerusi roda bayinya.
“Saya rasa, salah seorang anak kamu baru masuk ke dalam,” kata penemuramah BBC kepada Robert.
“Maafkan saya,” kata Robert berulang kali.
Tidak sampai beberapa saat kemudian, isteri Robert dilihat masuk ke dalam bilik tersebut dengan perasaan gelabah sambil menarik kedua-dua anaknya keluar dari bilik tersebut persis gaya ninja yang keluar secara senyap-senyap.
Pendek kata, sepanjang insiden kemunculan dua anak profesor itu lawak habis hinggakan kami sendiri terkekeh-kekeh ketawa.
Tidak hairanlah, video ini sekelip mata menjadi tular di seluruh dunia hinggakan dikongsi artis Hollywood terkenal. – MYNEWSHUB.CC