KUALA LUMPUR – Anugerah Media Malaysia 2017 (MMA 2017) kini dibuka untuk pengemukaan bagi pengiktirafan bakat-bakat media.
Pengerusi Penganjuran, Amit Sutha berkata, golongan media yang berminat untuk bertanding perlu menyerahkan penyertaan mereka sebelum 31 Mac, 2017.
Beliau berkata, MMA 2017 bertujuan menghargai pakar-pakar media Malaysia yang berupaya memahami fikiran.
Pengguna masa kini lebih arif dan suka kepada pengiklanan yang kurang gangguan dan lebih peribadi, manakala platform media lebih menjadi saluran agnostik, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Peranan utama mana-mana pakar media ialah memahami data algoritma ini dan menentukan produk dan mesej yang tepat di seluruh platform yang tepat dan memastikan mereka berada pada masa tepat dengan pelanggan tepat,” katanya.
Amit berkata, kempen pengiklanan yang berjaya bergantung kepada pakar-pakar media generasi baharu yang mampu memahami penumpuan dan aliran analisaan pengguna dan pada masa sama berada di kedudukan teratas dalam persaingan kreativiti media.
Oleh itu, MMA 2017 menyaksikan keperluan untuk menghargai bakat industri dan mewujudkan tiga kategori baharu sebagai tambahan kepada 11 kategori sedia ada.
Penghargaan itu akan diberikan melalui tiga kategori anugerah tambahan kali ini iaitu Penggunaan Kreatif Data, Penggunaan Terbaik Teknologi serta Kempen Memacu e-Dagang. – BERNAMA