KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 30 bot pelancong kerana melanggar peraturan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dalam ‘Ops Mengalum’ dan ‘Ops Mantanani’ di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Pantai Teluk Usukan, Kota Belud.
Pengarah Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata kesemua bot pelancong ditahan dalam operasi yang dilaksanakan selama 27 hari sejak 18 Feb lepas di perairan berkenaan.
Katanya bot berkenaan ditahan antaranya kerana didapati membawa penumpang yang melebihi jumlah yang ditetapkan dan menggunakan jaket keselamatan yang telah usang.
“Terdapat juga beberapa bot yang ditahan kerana menurunkan penumpang ditempat yang tidak diwartakan dan lesen bot telah tamat tempoh. Kesemua bot berkenaan dikenakan kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi yang disertai 106 pegawai dan anggota APMM itu adalah operasi khas yang bertujuan untuk membuat pemeriksaan terhadap semua bot pelancong serta membuat tangkapan terhadap mana-mana bot yang melanggar undang-undang.
“Selain itu kita ingin memastikan pengusaha dan pengandali bot-bot pelancong sentiasa mengutamakan keselamatan pelancong,” katanya.
Adam berkata anggaran jumlah kompaun yang dikenakan kepada semua bot yang ditahan adalah RM9,200.
Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan operasi seumpama itu dengan menggunakan pendekatan proaktif bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan laut, terutamanya di sekitar pantai barat Sabah tidak terjejas oleh perlakuan segelintir pengusaha bot yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata. – BERNAMA