SEORANG atlet bola tampar Rusia yang memiliki ketinggian 210 sentimeter diusir daripada sebuah pesawat penerbangan tambang murah di Rusia kerana tubuhnya yang terlalu tinggi.
Anak kapal Pobeda Airlines mendakwa Alexander Kimerov, 20, menghalang lorong di dalam kabin penumpang kerana kakinya yang terlalu panjang.
Kimerov menaiki pesawat itu dari Noby Urengoy, Siberia untuk ke Moscow sebelum diarah keluar oleh beberapa anggota beruniform.
Ketika insiden itu berlaku, Kimerov memberitahu dia ingin menukar tempat duduk namun anak kapal yang bertugas enggan membenarkannya.
Difahamkan Kimerov pernah menggunakan khidmat penerbangan itu sebelum ini dan tidak pula timbul sebarang masalah pada ketika itu.
Seorang pemain bola tampar kelab Moscow Dynamo; Alexander Volkov terkejut dengan tindakan anak kapal syarikat penerbangan itu yang sanggup memperlakukan Kimerov sedemikian rupa lalu memuat naik video insiden pengusiran tersebut ke akaun media sosial miliknya.
“Apa yang dah terjadi dengan dunia ini kawan-kawan? Seorang lelaki diusir dari pesawat hanya kerana tubuhnya terlalu tinggi dan dia bukan orang biasa.
“Dia adalah seorang atlet yang mengharumkan nama Rusia,” kata Volkov.
Di dalam video itu kelihatan seorang pegawai polis meminta Kimerov segera mengosongkan tempat duduknya.
Kimerov cuba mempersoalkan alasan pengusirannya kerana dia harus terbang bersama pasukannya, tetapi akhirnya dia menuruti permintaan polis.
Setakat ini belum diperolehi komen dari pengurusan Pobeda Airlines yang merupakan anak syarikat penerbangan Aeroflot.
Selain menjadi pemain kelab, Kimerov juga merupakan atlet pasukan kebangsaan bola tampar Rusia.
Kimerov pernah meraih pingat gangsa dalam pertandingan bola tampar Eropah di bandar Baku, Azerbaijan dan kejohanan bola tampar antarabangsa di Gwangju, Korea Selatan. –Â MYNEWSHUB.CC