SHAH ALAM – Pemain tengah pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Super anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi bulan Februari.
Baddrol mendapat undian tertinggi iaitu 17,073 menewaskan pemain import Kelantan, Muhammad Ghaddar yang memperoleh (6,020), Mathew Alves dari Pahang
(1,830), Mark Hartmann dari Sarawak (765) dan Mohammadou Sumareh dari Pahang (521).
Baddrol menerima plak, hadiah wang tunai RM1,500 sumbangan 139associates dan MVP Sports Agency, trofi sumbangan Ideasia dan gambar berserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my.
“Syukur dan terima kasih kepada PFAM serta pengundi dan keluarga yang sentiasa menyokong sepanjang karier saya dalam bola sepak.
“Kejayaan ini adalah hasil pencapaian terbaik pasukan Kedah pada awal musim ini dan berharap pasukan dapat tampil lebih cemerlang dengan membawa lebih banyak piala untuk negeri Kedah,” katanya selepas majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, dekat sini, hari ini.
Baddrol berkata anugerah itu juga menyuntik semangatnya untuk beraksi lebih cemerlang dengan skuad Harimau Malaysia yang akan menentang Filipina pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A pada 22 Mac ini di Stadium Memorial Rizal, Manila.
Walaupun mengakui rekod pertemuan antara Malaysia dan Filipina seimbang namun Baddrol yakin skuad mampu memberi saingan lebih baik jika lebih bersatu dan fokus pada perlawanan itu nanti.
“Saya yakin skuad negara kali ini akan membuat perubahan besar dalam pasukan dan bangkit pada perlawanan menentang Filipina nanti,” katanya.
Mengenai kedudukan ketua jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dalam skuad negara sekiranya berlaku perubahan selepas pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 pada 25 Mac ini, Baddrol berkata beliau tidak berhak membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Bagi beliau tanggungjawab bagi seorang pemain dan pasukan adalah mematuhi arahan jurulatih dan menjalankan tugas masing-masing dengan baik. – BERNAMA