DHAKA – Seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap ‘sindrom orang pokok’ dibawa keluar dari hospital oleh bapanya yang tidak yakin anaknya boleh sembuh.
Doktor melakukan pembedahan terhadap Sahana Khatun bulan lalu dan membuang beberapa ketumbuhan seperti kulit pokok pada tubuhnya.
Sahana, 10, dipercayai perempuan pertama di dunia menghidap masalah itu dan dirawat secara percuma oleh pakar di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.
Doktor menganggap pembedahan itu berjaya, tetapi bapa Sahana, Mohammad Shahjahan berkata, ia hanya memburukkan keadaan kanak-kanak itu dan tidak mahu dia menjalani prosedur selanjutnya.
“Mereka membuang ketumbuhan itu tetapi ia tumbuh lebih tebal. Saya amat bimbang. Menurut mereka, anak saya perlu menjalani antara lapan dan 10 lagi pembedahan.
“Tetapi mereka tidak memberi jaminan dia akan sembuh,” kata Shahjahan.
Ketua unit pembedahan plastik hospital berkenaan, Samanta Lal Sen berkata, pihaknya tidak boleh melarang lelaki itu membawa pulang anaknya.
“Dia membawa anaknya pulang dengan berkata, tiada kemajuan dicapai. Kami meminta dia bersabar, tetapi dia tetap dengan keputusannya,” kata Samanta. – AFP/myMetro Online