SEBUT sahaja, biskut jenama Gery pasti ramai yang sudah terbayang kerangupan dan keenakan lemak manis cheese pada makanan ringan ini.
Tidak hairanlah, biskut dari Indonesia ini boleh menjadi tular sehingga hangat diperkatakan menerusi media sosial.
Pun begitu, timbul dakwaan baru-baru ini menyatakan biskut yang hangat dijual di sekitar Sabah ini boleh memberi kesan sampingan kepada pengguna seperti serangan asma dan badan gatal-gatal.
Atas dakwaan itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi tampil menafikan perkara tersebut sebaliknya mengesahkan biskut Gery yang mengandungi tartrazine (E102) iaitu pewarna sintetik, selamat dimakan.
“Saya ingin jelaskan bahawa E102 adalah bahan pewarna sintetik yang dibenarkan penggunaan dalam biskut.
“Ini sebagaimana peraturan 135(2)(b) dan Jadual Ketujuh, Peraturan 21, dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, pengguna tidak perlu khuatir memandangkan Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu keselamatan makanan bagi melindungi orang ramai.
Di Malaysia, biskut ini dijual mengikut harga yang ditetapkan penjual antara harga RM3.90 ke RM5. – MYNEWSHUB.CC