TERINGAT penulis sewaktu kecil akhir 1980-an tinggal di Pulau Pinang pernah melambai tangan ke arah kereta api bergerak laju pada waktu siang seolah-olah menyambut kedatangan tren tersebut.
Secara kebetulan, rumah keluarga penulis dan padang sekolah rendah pun tidak jauh dari landasan kereta api malah lebih lucu, semua murid yang mengikuti Pendidikan Jasmani juga akan berhenti seketika jika tren tiba-tiba datang.
Itu cerita zaman dulu masa era gemilang lokomotif diesel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), namun peliknya jarang dengar berita ada kemalangan ngeri orang dilanggar tren waima waktu itu tiada pagar di sepanjang landasan.
Bahkan penduduk di kawasan yang ada laluan KTMB ketika itu selamba lintas landasan di sebalik tren barang dan penumpang sibuk berulang alik menuju serta datang dari stesen Butterworth atau terminal pelabuhan di situ.
Bagaimanapun, akhir-akhir ini bukan sesuatu yang nadir jika ada berita cukup menyayat hati apabila dilaporkan ada orang digilis tren terutama perkhidmatan Komuter dan ETS ketika mangsa dikatakan cuba melintasi landasan.
Timbul persoalan menarik, adakah mereka langsung tidak dengar bunyi kuat sesebuah kereta api datang dari jauh atau dalam kes terpencil, mungkin sengaja cari nahas mahu menamatkan riwayat dengan bunuh diri secara mudah?
Tahun lalu misalnya, kita digemparkan dengan kes seorang pekerja kontrak KTMB warga asing yang digilis Komuter ketika dia berehat selepas memotong rumput panjang di tepi landasan berhampiran stesen Nilai, Negeri Sembilan.
Pada minggu lepas, seorang bapa Orang Kelainan Upaya dilaporkan media telah maut dengan ngeri dan sebelah kakinya putus dirempuh tren Komuter ketika melintasi landasan untuk melawat anaknya dekat Klang, Selangor.
Berita paling tragik, seorang remaja hancur tubuh badan selepas dilanggar sebuah ETS sewaktu mangsa dikatakan mahu menyeberangi landasan dekat Sungai Petani, Kedah malah video insiden itu tular di media sosial tahun lalu.
Komuter diperkenalkan oleh KTMB bermula di Lembah Klang pada 1995 namun kini menghubungkan 79 buah stesen di Pantai Barat Semenanjung dengan 62 tren jenis EMU tiga gerabak dan 38 tren Class 92 enam gerabak.
Manakala ETS, yang merupakan perkhidmatan kereta api ekspres antara bandar; dilancarkan sejak 2010 hanya melibatkan 44 buah stesen utama di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan 15 tren jenis Class 93 dan 91.
Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan KTMB, barang kali pasti ramai kurang tahu bahawa bunyi tren bergerak pada zaman ini lebih senyap berbanding era ibu bapa atau datuk nenek moyang kita dahulu.
Penulis secara peribadi yang sering menaiki Komuter untuk pergi kerja waktu pagi dan balik rumah lewat malam setiap hari turut menyedari bunyi tren moden KTMB ketika ini sebenarnya amat senyap malahan kurang bising.
Ini jauh berbeza dengan zaman sebelumnya apabila bunyi kereta api sudah dapat didengar jauh dari jarak lebih satu kilometer sekali gus memberi amaran awal kepada sesiapa yang mahu melintas untuk berwaspada di tepi landasan.
Bagaimanapun kini sejajar peredaran zaman dan kecanggihan teknologi kereta api, bunyi tren hanya dapat didengar seawal 10 saat jika telinga anda bersih daripada sebarang ‘tahi’ dan mungkin kurang lima saat jika telinga tersumbat!
Ini cerita yang penulis dapat ketika sempat bersembang dengan beberapa jurutera KTMB yang kebetulan melakukan kerja penyelenggaraan projek landasan berkembar elektrik Lembah Klang atau disebut sebagai KVDT baru-baru ini.
Mereka bahkan berkata, pekerja KTMB yang berpengalaman luas dan sudah lama berkhidmat pun tidak sedar ada kehadiran kereta api yang bergerak selaju 120 kilometer sejam bagi Komuter dan 150 kilometer sejam bagi ETS.
Dengan kadar pencemaran bunyi bawah 70 decibel kerana bergerak laju menggunakan tenaga elektrik mesra alam berbanding lebih 100 decibel untuk kereta api jenis bahan bakar diesel, tren KTMB sekarang memang agak senyap.
Bayangkan penulis sendiri yang menunggu tren di platform pun tidak sedar ketibaan Komuter atau ETS jika leka ‘layan’ aplikasi WhatsApp di telefon bimbit sehinggalah dimaklumkan menerusi hebahan pembesar suara di stesen.
Justeru, kesedaran orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak menempah risiko maut dengan memilih landasan sebagai jalan pintas sebenarnya langkah keselamatan terbaik sebelum terlambat menjadi mangsa tragedi berdarah.
Hakikatnya, menyeberangi laluan kereta api merupakan kesalahan serius pencerobohan mengikut Seksyen 126 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan anda boleh dikenakan denda tidak lebih RM500. – Mynewshub.cc/HAA