SEORANG remaja tidak menyangka sakit kepala yang dialaminya selama ini berpunca akibat cacing yang hidup `selesa’ di dalam otaknya.
Cacing sepanjang empat inci panjang itu memasuki badan Wen Xioli, 19, apabila tangannya terluka ketika sedang mencuci seekor katak untuk dimasak, kira-kira dua tahun lepas.
Pada masa itu, ia masih dalam bentuk larva dikenali sebagai spirometra erinaceieuropaei dan larva itu kemudiannya membesar.
Perkara itu hanya diketahui oleh Wen selepas dia mengalami sakit kepala yang amat sangat hingga memaksanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Hunan, China.
Menurut doktor yang merawatnya, Dr. Yang, pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan parasit terbabit yang hidup dalam otak Wen.
“Parasit itu masih hidup dan bergerak ketika kami membedah kepala Wen. Kami terpaksa melakukannya dengan berhati-hati kerana jika ia putus, maka ia boleh memberikan risiko kepada badan Wen dan cacing berkenaan juga akan terus hidup di dalam badannya,” kata Dr. Yang.
Selepas pembedahan berkenaan, Wen kini dalam proses pemulihan. – MYNEWSHUB.CC