KUALA LUMPUR – Final impian antara jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan musuh tradisinya, Lin Dan dari China semakin hampir menjadi kenyataan apabila masing-masing mara ke separuh akhir Kejohanan Seluruh England.
Kedua-dua bintang veteran yang dikatakan tampil buat kali terakhir di kejohanan berprestij ini, masing-masing melepasi halangan lawan yang jauh lebih muda daripada mereka.
Selaku pilihan utama kejohanan, Chong Wei, 34, tidak berdepan masalah menewaskan Tian Houwei, 25, dari China 21-12, 21-15 di suku akhir di Birmingham pada Jumaat (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).
Menanti Chong Wei di separuh akhir adalah Chou Tien Chen dari Taiwan yang menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-19, 16-21, 21-8 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Lin Dan, 33, pula mara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengenepikan Viktor Axelsen, 23, dari Denmark 8-21, 21-14, 21-15.
Selepas ini, Lin Dan akan membuat perhitungan dengan rakan senegaranya, Shi Yuqi yang mara sesudah menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 21-13, 21-4.
Turut mengikut jejak Chong Wei ke separuh akhir adalah beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, 23-21, 21-14 di suku akhir.
Di separuh akhir, mereka akan menentang Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang sebelum itu mengalahkan Yoo Yeon Seong-Kim Ha Na dari Korea Selatan, 21-17, 18-21, 22-20.
Namun cabaran beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir di suku akhir selepas tewas kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China 19-21, 21-17, 19-21. – BERNAMA