PELAKON Shah Iskandar Mahfuz memberitahu dia mahu namanya diperkatakan kerana mutu lakonan berbanding kontroversi seperti yang pernah dilalui sebelum berkahwin.
Shah, 35 berkata, kontroversi yang dilalui sebelum ini tidak banyak membantu kerjayanya sebagai seorang pelakon.
“Cukup-cukuplah kontroversi saya sebelum berkahwin digelar ‘playboy Malaya’, dengan artis itu dan ini. Saya rasa sekarang sudah matang dan tidak mencari kontroversi.
“Bagi saya kontroversi tidak banyak membantu, kalau boleh kita matikan sesuatu isu daripada dibesar-besarkan,” ujarnya.
Shah ditemui pada majlis sidang media drama ‘Syurgaku Tak Sempurna’ yang diadakan di Suria KLCC, baru-baru ini.
Dia yang dihimpit kontroversi berpegangan tangan dengan pelakon Uqasha Senrose dalam satu acara hiburan menganggap ia sebagai bukan perkara besar.
Katanya, apa yang dilakukan pada aktres itu sebagai tanggungjawab seorang lelaki membantu pelakon wanita yang sukar berjalan menggunakan kasut tinggi.
“Tidak ada apa pun yang besar, bukan Uqasha sahaja, Raja Ilya pun saya bantu kerana keadaan di sana gelap dan mereka sukar nak berjalan dengan kasut tumit tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Shah berkata, dia gembira dapat bekerjasama dengan Uqasha dan Raja Ilya dalam drama Syurgaku Tak Sempurna yang sedang ditayangkan di HyppTV.
Tambahnya, biarpun penggambaran mengambil masa agak panjang hampir tiga bulan, namun dia menganggap sebagai satu cabaran.
“Drama ini berhadapat dengan banyak dugaan juga sehingga menjadi tiga bulan penggambaran untuk 30 episod sahaja.
“Tapi saya tidak kisah dan tidak berkira kerana apa yang penting mendapat hasil yang baik,” ujarnya.
Drama 30 episod terbitan Darkwave Pictures, Syurgaku Tak Sempurna yang kini ditayangkan di HyppTV. – mStar Online