KUALA LUMPUR – Ekoran aktiviti dagangan orang dalam paling banyak disiasat, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mahu aktif menangani pelanggaran itu bagi melindungi integriti dan daya tahan pasaran.
“Kami akan aktif menangani pelanggaran itu sebagai pencegahan perlakuan menyalahgunakan maklumat bukan untuk kegunaan awam,” kata Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh.
Daripada 17 individu yang didakwa pada 2016, 10 didakwa atas kesalahan dagangan orang dalam.
Tindakan penguatkuasaan dilakukan bukan hanya terhadap mereka yang didakwa menjalankan dagangan ketika memiliki maklumat dalaman, malah juga terhadap individu-individu yang telah menyampaikan maklumat itu kepada individu lain.
Beliau berkata tanggapan mengenai keadilan, dengan semua peserta memiliki akses sama kepada maklumat yang relevan, sangat penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan orang awam terhadap pasaran modal Malaysia.
Oleh itu, SC meningkatkan usaha untuk memperkukuh standard dan perlakuan pasaran dan memastkan firma terus mengutmakan kepentingan pelabur.
Ini termasuk memberi tumpuan kepada penilaian tematik ke atas tabir urus, amalan jualan, resit pihak ketiga dan dagangan proprietari.
Selain itu, pemantauan berterusan akan dilakukan ke atas aktiviti pasaran dan korporat bagi membolehkan pengesanan awal sesuatu yang tidak kena dan tindakan preemtif.
Beliau berkata SC juga bimbang terhadap risiko siber yang semakin meningat seperti kejadian penipuan di seluruh dunia sejak kebelakangan ini.
Namun, bagi merealisasikan daya tahan siber ia memerlukan masa dan tindakan bersepadu SC, entiti pasaran modal dan pemegang kepentingan nasional.
“Pembabitan SC dalam membuat dasar di peringkat global memastikan kawal aturan, pemantauan dan penguatkuasaan sejajar dengan standard global.
“Kerjsama antarabangsa dan pertukaran maklumat rentas sempadan dengan bidang kuasa yang lain akan terus memperkukuh keupayaan SC untuk melaksanakan tanggungjawab kami sebagai pengawal atur, terutama kedudukan transaksi kewangan yang kini merentas sempadan,” katanya. – BERNAMA