KUALA LUMPUR – Pelaksanaan zon khas motosikal yang dilancarkan semalam di beberapa lokasi lampu isyarat di bandar raya ini disambut baik warga kota namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta membuat penambahbaikan khususnya bagi mendidik dan memaklumatkan pengguna jalan raya agar objektifnya tercapai.
Tinjauan Bernama mendapati masih ramai penunggang motosikal tidak mematuhi penstrukturan trafik yang baharu itu berikutan masih kabur mengenai fungsi petak khas yang dicat dengan warna merah dan putih itu.
Warga kota yang ditemui Bernama mengakui ramai penunggang motosikal masih keliru dengan pelaksanaan sistem itu menyebabkan mereka tidak memberhentikan motosikal di petak khas dan sebaliknya masih berhenti di petak kuning dan laluan pejalan kaki.
Pekerja kontrak Shafie Omar, 53, berkata DBKL perlu meletakkan lebih banyak papan tanda di zon khas berkenaan supaya pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal menyedari mengenai peraturan baharu itu.
“DBKL perlu pergiatkan kempen supaya orang awam tahu tentang fungsi dan kepentingannya terhadap keselamatan pengguna jalan raya… saya yang bekerja berhampiran sini (zon motosikal) pun tidak tahu kewujudannya,” katanya.
Peniaga Abdul Rahman Asbari, 43 pula berkata inisiatif yang diambil oleh DBKL itu merupakan langkah yang baik namun ia perlu seiring dengan pemantauan pihak berkuasa supaya pengguna jalan raya lebih berdisiplin dalam mematuhi peraturan baharu itu.
“Usaha ini memang bagus, tetapi ia akan jadi sia-sia jika tiada pemantauan di kawasan tersebut. Bila pengguna patuh, keadaan kenderaan lebih tersusun dan tiada lagi masalah seperti kes motosikal terlanggar cermin sisi kereta,” katanya.
Pekerja agensi pelancongan T. Sarah, 57, pula meminta DBKL membuat pengubahsuaian petak khas itu, agar sesuai dengan situasi trafik di bandar raya ini.
“Adalah lebih baik wujudkan zon motosikal itu di bahagian tepi jalan, bukan di petak hadapan.
“Penunggang motosikal masih perlu mencelah di antara kenderaan lain untuk ke hadapan, keadaan ini tetap sama menyusahkan dan tiada bezanya dengan situasi sebelum ini,” katanya.
Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata penstrukturan trafik itu adalah bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku di jalan raya seperti jenayah ragut dan pecah cermin kereta.
Beliau berkata setakat ini DBKL menyediakan zon motosikal di tiga lokasi merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak. – BERNAMA