WASHINGTON DC – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Rabu empat suspek yang melakukan serangan siber terhadap data Yahoo pada 2014 termasuk dua pegawai keselamatan Rusia akan didakwa, lapor agensi berita China Xinhua.
Tertuduh menggunakan akses sistem Yahoo tanpa kebenaran untuk mencuri maklumat daripada 500 juta akaun Yahoo serta menggunakan sebahagian maklumat itu bagi mengakses kandungan akaun di Yahoo, Google dan penyedia webmail lain secara tidak sah, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
Menurut kenyataan itu dua tertuduh Dmitry Dokuchaev dan Igor Sushchin bekerja dengan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia dikenali FSB.
Dua suspek lain Alexsey Alexseyevich Belan warga Rusia dan Karim Baratov yang mempunyai dua kerakyatan Kanada dan Kazakhstan.
“AS akan melakukan siasatan terpeinci dan menggunakan sepenuhnya undang-undang untuk mendakwa mereka yang menjadi dalang terhadap serangan siber itu,” kata Peguam Negara AS, Jeff Sessions.
Sementara itu, menurut laporan agensi berita Sputnik Rusia memetik sumber yang boleh dipercayai mengatakan, Washington langsung tidak memaklumkan Moscow mengenai siasatan terhadap rakyatnya yang didakwa terbabit dalam serangan siber itu. – BERNAMA