Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

Polis Tak Pernah Hentikan...

GEORGE TOWN - Polis tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang siasatan mengenai...

‘Optimus Prime’ Dipesan Sultan...

JOHOR BAHRU - Trak Mack termahal di dunia milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim...

Banjir: ATM Buka Hospital...

PASIR MAS - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka sebuah hospital barisan hadapan bagi...

PAS Cabar Ahmad Maslan...

MUADZAM SHAH - PAS pada Jumaat mencabar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan...

Fikirlah: Siap Siaga Untuk Hidup Tanpa Gaji 42 Hari

KUALA LUMPUR – Tanggal 23 Februari lepas, ramai penjawat awam menarik nafas lega. Manakan tidak, akaun bank kembali terisi dengan wang gaji selepas sela 35 hari.

Biasanya gaji penjawat awam dibayar pada 25 haribulan setiap bulan. Tetapi dalam situasi-situasi tertentu seperti musim perayaan, pembayaran gaji diawalkan.

Gaji Januari 2017 dibayar awal pada 19 haribulan, kira-kira seminggu lebih awal daripada tempoh biasa sempena sambutan Tahun Baru Cina dan tidak lama selepas itu, Thaipusam.

Ini menjadikan jumlah kiraan hari antara gaji ke gaji menjadi 35 hari. Tempoh ini adalah lima hari lebih panjang daripada tempoh sela antara gaji biasa. Jadi memang wajar jika ada yang terasa sedikit ‘sesak’ dompetnya sepanjang tempoh ini.

Sebenarnya, terlalu awal untuk penjawat awam menarik nafas lega. Sepanjang tahun ini masih ada beberapa tempoh yang memerlukan pengamatan teliti mengurus perbelanjaan bulanan.

Untuk tahun 2017 pembayaran gaji yang diawalkan berlaku sebanyak tiga kali iaitu pada Januari sempena Tahun Baru Cina, bulan Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada bulan Oktober sempena sambutan Hari Deepavali.

Pembayaran gaji untuk bulan Jun dibuat 15 Jun iaitu 10 hari lebih awal daripada waktu pembayaran biasa.

Gaji bulan Oktober pula dibayar pada 11 haribulan iaitu 14 hari lebih awal daripada biasa.

Bayaran gaji awal daripada tarikh 25 haribulan juga berlaku pada bulan-bulan lain seperti Februari, Mac, Ogos, November dan Disember tetapi jumlah harinya tidak terlalu ketara hanya antara satu ke empat hari sahaja.

Ia berlaku kerana pembayaran gaji dilakukan antara hari Isnin hingga Khamis dan jika tarikh 25 haribulan jatuh pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad, gaji akan dibayar pada hari Khamis terdekat dengan tarikh itu.

Di sebalik kegembiraan mendapat gaji awal yang pasti mengurangkan beban perbelanjaan menyambut hari perayaan, para penjawat awam perlu juga berkira-kira jarak jumlah hari yang perlu ditempuh untuk bayaran gaji seterusnya.

Ini amat penting untuk membantu pengurusan kewangan yang baik. Kalau boleh janganlah ada yang sampai perlu bergolok gadai atau makan mi segera sekeluarga sementara menunggu hari gaji.

Tempoh paling panjang yang perlu ditempuh nanti adalah 42 hari iaitu selepas Hari Deepavali antara 11 Oktober hingga 23 November. Tempoh kedua terpanjang adalah 40 hari antara 15 Jun hingga 25 Julai dan tempoh ketiga terpanjang baru sahaja selesai dilalui daripada 19 Januari hingga 23 Februari lepas.

Jarak antara gaji Mac (23 haribulan) dan April (25 haribulan) akan memakan 33 hari, serta tempoh gaji Ogos (24 haribulan) hingga September (25 haribulan) akan mengambil 32 hari.

Pada bulan-bulan lain, sela hari antara gaji adalah seperti biasa antara 28 ke 30 hari.

Ada pelbagai cara boleh diguna untuk memastikan kedudukan kewangan sentiasa ampuh. Tiga cara yang paling mudah adalah menjaga disiplin berbelanja, membuat tabungan dan mencari pendapatan sampingan.


Penjagaan disiplin berbelanja bermaksud, si penerima gaji tidak menyentuh gaji yang masuk awal, tetapi hanya berbelanja seperti biasa seolah-olah tidak menerima wang tambahan di tengah bulan.

Ada juga yang mencadangkan, wang yang masuk awal dipindahkan ke akaun lain untuk mengelakkan daripada ia dibelanjakan secara ‘tidak sengaja’.

Pun begitu, teknik ini mungkin agak sukar dilakukan bila tiba musim perayaan. Keperluan untuk berbelanja lebih seperti persiapan sambutan perayaan, kos perjalanan pulang ke kampung halaman serta pemberian angpow semestinya memerlukan wang tambahan.

Oleh itu, tabungan awal amatlah digalakkan bermula sekarang. Sebagai contoh, bagi umat Islam yang menyambut Aidilfitri, anda masih punya kira-kira empat bulan untuk membuat tabungan.

Di samping menabung, perlu juga dipastikan agar diri tidak berbelanja berlebih-lebihan sehingga membazir untuk sambutan hari raya kerana ia adalah satu perbuatan yang ditegah agama.

Perlu juga diingatkan bahawa kenaikan harga barang keperluan juga boleh merumitkan lagi keadaan. Harga ikan dan sayur di pasar-pasar borong semakin meningkat, harga petrol juga tidak menunjukkan tanda penurunan setakat ini.

Dalam dunia hari ini, penjanaan pendapatan tambahan boleh dibuat dengan pelbagai cara. Tinggal pilih sahaja yang mana disukai.

Bagi yang suka berniaga boleh memilih untuk melakukan perniagaan secara konvensional mahupun dalam talian. Jika tiada produk sendiri untuk diniagakan, menjadi ‘dropshipper’ adalah satu pilihan yang semakin diminati hari ini.

Pemerhatian penulis juga mendapati ramai kaum wanita yang menyediakan perkhidmatan menjual kek ‘home made’ dan juadah makan tengah hari. Ada juga yang menjual produk kosmetik, produk kesihatan dan keperluan dapur.

Ada juga yang mengambil upah menjadi tutor, guru tiusyen, perkhidmatan penterjemahan, menjahit pakaian.

Turut mendapat sambutan hangat dengan menjadi pemandu teksi sapu dalam talian seperti Uber dan Grabcar.

Apa yang penting, setiap penjawat awam perlu faham bahawa pembayaran gaji awal dibuat semata-mata untuk kemudahan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka perlu menyesuaikan diri dengan situasi-situasi yang mendatang.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis). – BERNAMA

Kategori