SUPERMODEL antarabangsa, Gigi Hadid menjadi penghias muka hadapan Vogue Arabia yang pertama untuk edisi Timur Tengah dan ke-22 yang diterbitkan untuk pasaran dunia.
Vogue Arabia diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Arab dan Inggeris dan edisi pertama majalah tersebut boleh didapati bermula 5 Mac ini di beberapa negara Timur Tengah termasuk Qatar, Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman dan Emiriah Arab Berstu (UAE) serta beberapa lokasi antarabangsa seperti London, Paris dan Milan.
Hadid menerusi laman Instagram peribadinya turut berkongsi paparan muka depan majalah itu yang menampilkan dirinya.
“Bagi saya, perkara terindah apabila adanya Vogue antarabangsa sebagai satu komuniti fesyen yang mana kita dapat meraikan dan berkongsi kepada dunia tentang kepelbagaian budaya.
“Sebagai seorang yang memiliki darah Palestin, ia merupakan sesuatu yang besar buat saya apabila terpilih sebagai individu pertama yang menghiasi @voguearabia.
“Saya harap bahawa majalah ini akan memperlihatkan lapisan (sudut) berbeza dalam keinginan industri fesyen untuk terus menerima, meraikan dan menyatukan semua serta menjadikan setiap orang istimewa,” tulisnya.
Edisi pertama Vogue Arabia menampilkan Hadid dengan kepalanya dilitupi kain veil yang sarat dengan perincian sequin dan batu permata, malah beberapa fotonya bertudung juga dipaparkan di dalam edisi tersebut.
Foto-foto Hadid di dalam majalah itu adalah hasil bidikan jurugambar Inez dan Vinoodh manakala penataan gaya pula oleh Brandon Maxwell yang berjaya mencungkil sisi Arab supermodel ini.
Selain diterbitkan dalam versi cetak, Vogue Arabia turut melancarkan laman sesawang (website) yang juga didatangkan dengan dwi-bahasa. – MYNEWSHUB.CC