TAWAU – Semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini perlu meningkatkan peranan menyampaikan dakwah dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata belia masa kini memerlukan bimbingan dan perlu diberi penerapan dengan pemikiran dakwah dalam mengharungi dunia yang semakin kompleks.
“Sebab itu guru KAFA perlu berganding bahu dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat bagi membentuk belia yang cerdas kerohanian,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) di sini hari ini.
Ketika ini terdapat 2,200 guru KAFA di Sabah dengan 48,658 murid.
Sementara itu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata ibu bapa dinasihat agar mengimbangi pendidikan dalam agama dan akademik.
“Ramai ibu bapa sanggup berkorban agar anak mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata, tetapi alpa dalam bidang agama sedangkan dalam Islam perkara ini perlu seiring,” katanya. – BERNAMA