KUALA LUMPUR – Semua 39 perwakilan dan anggota gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meletakkan kepentingan sukan itu sebagai asas utama dan tidak terbawa dengan kepentingan peribadi.
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar berkata hala tuju bola sepak negara kini bergantung kepada undian yang dibuat dalam Kongres FAM ke-53 Sabtu ini.
Menurutnya, undian bagi memilih Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 itu tidak boleh bersikap berat sebelah, sebaliknya mereka adalah suara yang mewakili penyokong sukan itu yang mahukan perubahan secara menyeluruh.
“Minggu ini adalah penting untuk bola sepak negara dalam menentukan siapa barisan kepemimpinan baharu FAM. Saya menyeru kepada semua perwakilan supaya memilih secara matang dan tidak terbawa dengan kepentingan peribadi.
“Saya harap semua perwakilan dapat mengenal pasti calon terbaik untuk mengetuai FAM dan saya yakin perwakilan kali ini lebih memahami kehendak bola sepak negara,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Hairuddin berkata selaku bekas pemain, beliau tidak mahu isu tunggakan gaji pemain berulang lagi dan mahu barisan kepimpinan baharu FAM memandang serius pembangunan bola sepak negara dan prestasi skuad Harimau Malaysia.
Katanya kepimpinan baharu itu nanti akan berdepan cabaran yang lebih hebat bagi menaikkan semula imej bola sepak negara kerana penyokong sudah muak dengan isu yang sama.
“Kalau kita mahu majukan bola sepak dengan lebih serius, arena bola sepak harus berubah secara keseluruhan, terutamanya dari segi liga dan pembangunan pemain muda.
“Semua penyokong bola sepak mahu perubahan, saya harap kita dapat melihat transformasi besar berlaku dalam bola sepak Malaysia selepas ini,” katanya.
Mengulas calon Presiden FAM yang lebih layak menerajui badan induk itu, Hairuddin berkata kedua-dua calon iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa mempunyai visi dan misi yang menarik.
“Kalau kita kaji misi yang ditawarkan TMJ dan Annuar, kedua-dua mereka menawarkan manifesto yang menarik, saya berharap misi itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Pemilihan pada kongres itu adalah untuk mengisi 17 kerusi iaitu presiden (satu jawatan), timbalan presiden (dua jawatan), naib presiden (empat jawatan) dan exco (lapan jawatan lelaki dan dua jawatan wanita). – BERNAMA