PETALING JAYA – Seorang juruteknik didenda RM1,800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, empat hari lepas.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Vengadarajah, 43, kerana dengan sengaja menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya untuk membuat pemeriksaan di parkir motosikal Blok B, Flora Damansara, Jalan PJU 8/9 di sini pada 6.30 petang, 28 Mac lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda yang ringan kerana sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA