LAMBAKAN produk tiruan diimport dari China bukan sahaja membolehkan pengguna di Malaysia dapat membeli sesuatu barangan berjenama dengan harga murah, malah yang berbaur haram!
Tinjauan MYNEWSHUB menerusi laman jualan atas talian mendapati, ada pelbagai jenama ternama antarabangsa menjadi mangsa kreatif pihak industri di China, namun lucunya ia diubah suai agar tidak dianggap cetak rompak.
Lebih dahsyat, sudahlah dijenamakan semula, tetapi tanpa disedari tindakan inovasi pihak terbabit bukan sahaja tidak sensitif terhadap umat Islam, malahan cuba mencabar kesabaran masyarakat Muslim dengan imej haram.
“Saya ingat gambar haiwan itu harimau tapi sebenarnya gambar babi,” kata Md. Akhir Saad, 49, antara pengguna yang pernah tertipu dengan pembelian baju-T setelah ditempah secara dalam talian kepada Harian Metro.
Beliau yang juga merupakan ahli perniagaan membeli baju berkenaan menerusi vendor perniagaan dalam talian pada Febuari sebelum tempahan baju tanpa kolar tersebut sampai dengan selamat pada 3 Mac lalu.
“Saya membuat tempahan baju itu yang berharga RM49 selepas melihat iklan dalam laman sesawang vendor perniagaan dalam talian. Ketika baju itu sampai, saya tidak perasan sesuatu yang pelik pada baju berkenaan.
“Namun, kali kedua saya memakai baju itu, anak saya tegur kata gambar haiwan pada logo baju-T seperti babi walaupun pada mulanya saya bertegas gambar haiwan itu adalah harimau,” katanya kepada akhbar tersebut.
Md. Akhir yang menetap di Kulim, Kedah berkata, sebaik sahaja mengetahui perkara pelik tersebut, dia cuba menghubungi semula pihak vendor berkenaan untuk menuntut penjelasan sebenar.
“Saya diberitahu pihak terbabit bahawa baju itu memang langsung diimport dari China dan mereka juga sendiri tidak mengetahui mengenai perkara itu sehingga dimaklumkan pihak pembeli tempatan.
“Mereka bagaimanapun membayar ganti rugi dengan kupon pembelian yang sama harga dengan baju berkenaan,” katanya yang turut memuat naik status melalui laman sosial, Facebook berhubung perkara itu.
Status Md. Akhir menerusi Facebook menarik perhatian netizen apabila ramai antara mereka turut memaklumkan kes unik tersebut pernah banyak kali berlaku terutama membabitkan penggunaan jaket kulit daripada babi.
Katanya, tujuan dia memuat naik status berkenaan melalui media sosial bagi memberi pendedahan kepada orang ramai agar berhati-hati dalam pemakaian dan pembelian barang tertentu secara dalam talian.
“Sebagai umat Islam, ada perkara yang sensitif perlu diambil kira seperti perkara ini kerana ia membabitkan perihal agama,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA