REMBAU – Hujan lebat yang berlaku petang semalam menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Semerbok, Kota dekat sini terputus ekoran hakisan di tebing sungai.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) negeri, Mejar Mohd Rohaidi Halim berkata kejadian yang berlaku pagi tadi bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Jambatan itu terputus ekoran daripada hujan dan air sungai yang naik mendadak dan menghakis permukaan tanah di sekitar jambatan.
“Kejadian ini tidak menjejaskan penduduk yang tinggal di Kampung Semerbok kerana ada laluan alternatif untuk ke pekan Kota,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Rohaidi berkata pihak Jabatan Kerja Raya sudah melakukan pemantauan dan jambatan terbabit kini ditutup sebagai langkah keselamatan orang ramai.
“Anggota APM sentiasa memantau keadaan sekitar dan beberapa pusat pemindahan dalam mod bersedia sebagai langkah berjaga-jaga dan siap siaga untuk urusan mangsa berpindah sekiranya diarahkan perlu,” katanya.
Sementara itu, Rohaidi berkata hujan lebat petang semalam turut menyebabkan beberapa kampung dilanda bajir kilat.
“Setakat pagi tadi, 22 keluarga dari Kampung Bangsal Atap, Kampung Sungai Raden dan Kampung Sungai Timun, terjejas akibat banjir kilat sedalam satu meter.
Jika keadaan berterusan cerah sehingga ke petang, dijangkakan banjir akan surut dan keadaan kembali normal,” katanya. – BERNAMA