SELERA sepasang suami isteri terbantut apabila menemui makanan yang disangka daging tetapi rupa-rupanya sarung najis ayam di sebuah restoran nasi kandar di Arau, Perlis, malam semalam.
Menerusi perkongsian Aishah Harun di Facebook, dia bersama-sama suaminya ke restoran tersebut untuk menikmati keenakan makanan nasi kandar yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan.
Tetapi, lain jadinya apabila dia terpaksa melalui pengalaman menjijikkan selepas menyedari kari ayam yang dimakannya mengandungi satu sarung najis ayam.
Lebih menjijikan lagi apabila sarung itu dipenuhi dengan najis yang tidak dibersihkan.
“Sampai nak dekat habis baru tuang kuah, tengok benda apa yang berketul. Ingatkan daging yang sesat dan korek-korek nampak macam sarung tahi ayam.
“Aku pun semangat lar korek, memang sah dah depa hentam bubuh dalam gulai. Kalau pecah tahi itu pakai sedap lagi gulai seperiuk,” tulisnya.
Aishah yang berasal dari Kedah itu memuat naik gambar dan status di media sosial mendedahkan apa yang telah berlaku padanya ketika makan di restoran mamak berkenaan.
Menurutnya, akibat insiden itu dia termuntah selepas mengetahui makanan yang dimakan olehnya dimasak bersama dengan sarung najis.
“Ini baru yang kita nampak, yang lain kita belum nampak lagi,” katanya yang bimbang dengan kari ayam sudah tercemar dan dihidangkan kepada pelanggan.
Perkongsian itu mendapat kritikan netizen serta mereka mahu Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.
Netizen mengkritik pemilik restoran yang hanya mementingkan keuntungan dan memandang ringan kebersihan dalam penyediaan makanan. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan.