PUTRAJAYA – Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) akan diteruskan dengan peruntukan RM5 bilion bagi tempoh lima tahun bermula 2018, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Ongkili berkata GTFS yang diperkenalkan pada 2010 dengan dana sebanyak RM3.5 bilion akan berakhir pada Disember tahun ini dan program itu akan ditambah baik serta dikenali sebagai GTFS 2.0.
“GTFS 2.0 adalah penting bagi memastikan projek-projek berasaskan teknologi hijau yang berpotensi dan berdaya saing akan terus mendapat sokongan pembiayaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri teknologi hijau negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Beliau berkata setakat ini skim itu berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan dalam bidang teknologi hijau dengan pembiayaan sebanyak RM2.96 bilion bagi 272 projek.
Ongkili berkata mesyuarat MTHPI turut bersetuju melaksanakan Program MySuria yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2017, melibatkan 1,620 isi rumah dalam kumpulan B40 di seluruh negara bermula bulan ini.
Di bawah program yang ditadbir Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari itu, setiap keluarga terbabit akan memperoleh pendapatan pasif sekurang-kurangnya RM250 sebulan, katanya.
“Proses pertama adalah mengenal pasti mereka yang layak dipertimbangkan sebagai peserta dan di mana tempat tinggal yang sesuai untuk pelaksanaannya dari segi memasang bumbung,” katanya.
Sebagai permulaan, Ongkili berkata sebanyak RM45 juta diperuntukkan bagi program MySuria dan mesyuarat turut bersetuju untuk menyemak semula jumlah peruntukan itu setelah melihat impak program tersebut.
Selain itu katanya mesyuarat juga meluluskan penubuhan Dana Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) yang akan menjadi pemangkin bagi Industri Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO).
Ongkili berkata saiz dana adalah sebanyak RM200 juta daripada Malaysia Debt Ventures Berhad dengan sokongan dana jaminan kredit berjumlah RM12 juta daripada kementerian dan Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu dan Global
Environment Facility (UNDP-GEF).
“Kerajaan turut menyuntik dana berjumlah RM5.8 juta bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada lapan peratus setahun kepada tujuh peratus setahun bagi menjadikan pakej pembiayaan ini lebih menarik kepada ESCO,” katanya.
Ongkili berkata inisiatif itu dijangka menyumbang ke arah pengurangan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 1050 Gigawattjam (GWh) bersamaan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 728.7 kt CO2 dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaannya.
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat MTHPI turut memperakukan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang menggariskan langkah-langkah mentransformasikan ekonomi Malaysia berlandaskan teknologi hijau untuk mendapai pertumbuhan ekonomi rendah karbon.
Ini katanya selaras dengan sasaran negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 45 peratus pada 2030.
Ongkili berkata GTMP memberi fokus kepada enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa dan pengurusan air. – BERNAMA