KUALA LUMPUR – Satu-satunya warga Korea Utara yang berjaya ditangkap pihak polis setakat ini berhubung kematian Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, dijangka dihantar pulang.
Perkara yang agak memeranjatkan pelbagai pihak itu didedahkan oleh agensi berita MediaCorp milik pemerintah Singapura yang dilaporkan telah memetik kenyataan daripada satu sumber tidak didedahkan.
Paling mengejutkan apabila sumber yang mengetahui mengenai perkara tersebut malah memaklumkan bahawa Ri Jong Chol, seorang jurutera perisian; turut tidak akan dikenakan sebarang pendakwaan jenayah.
Suspek tunggal rakyat Korea Utara yang berusia 46 tahun itu berjaya ditangkap pihak polis pada 17 Februari lepas di apartmennya di ibu negara. Dia dilaporkan tinggal dengan ahli keluarganya di Malaysia.
“Arahan reman yang dilanjutkan mahkamah majistret bakal berakhir tempoh pada 3 Mac. Dia akan dihantar pulang kerana Peguam Negara tidak akan mengenakan dakwaan terhadapnya,” kata sumber itu kepada MediaCorp.
Dia namun tidak memberi perincian kenapa tiada dakwaan dikenakan. Jong Chol dipercayai bertindak sebagai pemandu kepada empat suspek warga Korea Utara yang disyaki menjadi dalang pembunuhan Jong Nam.
Apabila ditanya jika dakwaan akan dikenakan terhadap Jong Chol, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberikan respons melalui kiriman mesej: “(Ia) akan diputuskan esok apabila arahan remannya tamat.”
Jong Chol datang ke Malaysia sekitar Ogos tahun lalu dan didaftarkan bekerja di jabatan teknologi maklumat syarikat tempatan Tombo Enterprises, menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Tombo Enterprises, Chong Ah Kow dilaporkan memberitahu para wartawan bahawa Jong Chol tidak pernah pun digajikan oleh syarikat beliau atau datang bekerja di situ selama ini.
Ah Kow menambah bahawa beliau hanya membantu Jong Chol untuk memohon pas pekerjaan di bawah syarikatnya dengan pihak Imgresen dan warga Korea Utara itu sudah berada di Malaysia sejak tiga tahun yang lalu.
Jong Nam mati pada 13 Februari apabila mukanya disapu dengan agen saraf VX oleh dua wanita asing di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, Selangor. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA