Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

AMP 2017 Penghargaan Kepada...

KUCHING - Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP 2017) Sarawak anjuran Kementerian Kerja...

Harith Iskander Bawa Komedi...

INDUSTRI lawak di negara kita ini sudah semakin berkembang. Ini dapat disaksikan dengan...

Peniaga Cedera Parah Dibelasah...

IPOH - Seorang peniaga cedera parah selepas dibelasah tiga lelaki dalam satu kejadian...

Suspek Kes Tikam Guru...

KUALA LUMPUR - Polis menahan suspek utama kes tikam seorang guru wanita Sekolah...

Kes Culik: Isteri Sembunyi Daripada Pengetahuan Anak

KUALA LUMPUR – Isteri Tayudin Anjut, nelayan Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf, menceritakan bagaimana beliau sedaya upaya cuba menyembunyikan kejadian itu daripada pengetahuan dua anak mereka.

Rustia Sultan, 47, berkata ini kerana beliau tidak mahu mengganggu emosi anak-anaknya terutama Nurerin Farisha, 13, yang menduduki hari pertama peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehari selepas kejadian culik itu berlaku.

Beliau juga cuba menyembunyikan apa yang berlaku daripada anak bongsunya Mohd Fahirin, 5, dengan menjawab ayah mereka keluar menangkap ikan dan masih belum pulang setiap kali ditanya.

“Selalunya, ayahnya akan balik selepas kira-kira seminggu keluar menangkap ikan, tetapi setelah beberapa lama dia masih belum pulang, anak-anak mula kerap bertanya di mana ayah, dan apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, saya masih belum beritahu mereka apa yang berlaku, hanya cakap ayah mereka keluar tangkap ikan, nanti dia baliklah,” kata Rustia lagi.

Beliau menceritakan keperitan terpaksa dilalui setelah Tayudin dan empat rakannya yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, pada 18 Julai tahun lalu.

Katanya khabar tentang penculikan berkenaan sampai juga kepada anak-anaknya kira-kira sebulan kemudian setelah guru di sekolah meminta semua pelajar membuat solat hajat memohon keselamatan kesemua mangsa culik berkenaan.

“Selepas solat hajat itu, Fahirin balik dan tanya saya betulkah ayahnya diculik sebab guru tadikanya bagitahu ayah Fahirin antara yang diculik. Selepas itu baharulah saya menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Rustia berkata sepanjang tempoh tersebut, suaminya beberapa kali menghubungi beliau menerusi telefon.

Namun, setiap kali itu juga beliau amat gusar kerana setiap kali dihubungi suami melalui telefon, anggota kumpulan berkenaan akan turut mengugut untuk memenggal kepala suaminya dan tahanan lain.

“Alhamdulillah, saya syukur kerana usaha kerajaan yang membantu selamatkan dan bawa mereka balik,” katanya kepada pemberita di kediaman perdana menteri di Jalan Duta, di sini.

Tayudin, 45, dan seorang lagi rakannya, Abdul Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang malam tadi.


Kedua-dua mangsa culik itu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk sendiri menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan membantu menyelamatkan mereka dan tiga lagi rakannya yang dibebaskan malam tadi.

Pada pertemuan itu, Tayudin dan Abdul Rahim menceritakan apa yang terpaksa ditempuhi sepanjang lapan bulan mereka ditahan kumpulan berkenaan, azab dilayan seperti hamba abdi dengan dipaksa memasak untuk anggota kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa-sisa makanan, selain sering kali diugut untuk dipancung kepala.

Abdul Rahim disambut oleh anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain.

Kedua-dua mangsa culik itu kini menghadapi pelbagai masalah kesihatan antaranya tidak dapat berjalan dengan baik kerana mereka sering dipaksa berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam di dalam hutan serta mengalami masalah penglihatan berikutan mata mereka sering ditutup.

Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.

Kedua-dua nelayan itu akan dirawat pakar di Hospital Selayang sebelum dibenarkan pulang ke Sabah di bawah penyeliaan Kelab Putera 1Malaysia.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abd. Bari Wan Abd. Khalid, berkata pihak berkuasa Malaysia sedang dalam tindakan untuk membawa pulang tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi di kawasan umum Poblacion Punay, Panglima Estino, di Sulu.

Ketiga-tiga mangsa itu ialah Jumadil Rahim, 24, Mohd Ridzuan Ismail, 33, dan Fandy Bakran, 27. – BERNAMA

Kategori