KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mencadangkan supaya kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terhadap Ketua Pendaftar Bahagian Masjid Tanah, Melaka di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ridwan Abu Samah, diselesaikan melalui proses mediasi.
Saman berkenaan adalah berhubung status dan gambar yang dimuat naik Ridwan di laman Facebooknya yang didakwa memfitnah Setiausaha Kerja UMNO itu.
Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri, yang mewakili Ab Rauf, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk John Louis O’Hara membuat cadangan itu selepas pengurusan kes berkenaan dalam kamarnya hari ini.
Hadir sama Peguam Ilyani Noor Khuszairy yang mewakili Ridwan.
Nurshafiqa berkata mahkamah menetapkan 21 April ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan proses mediasi itu.
“Sekiranya kes saman berkenaan gagal diselesaikan melalui proses mediasi, mahkamah menetapkan lima hari bermula 9 Okt ini untuk perbicaraan,” katanya.
Peguam itu turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan sebahagian daripada pernyataan pembelaan defendan (Ridwan) esok.
Ab Rauf, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman itu pada 5 Jan lepas atas dakwaan Ridwan telah memuat naik satu status dan gambar dalam Facebook miliknya atas nama ‘Wan Motor’ dan ‘Ppbm Masjid Tanah’ pada 11 Nov dan 12 Nov 2016 yang didakwa mengandungi perkataan-perkataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf, yang juga Ketua Bahagian UMNO Masjid Tanah, mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan menggunakan kedudukan, jawatannya untuk mengaburi dan membeli hati rakyat khususnya penduduk di kawasan Masjid Tanah.
Plaintif juga mendakwa reputasinya tercemar berikutan penerbitan perkataan fitnah itu yang boleh diakses secara meluas melalui internet.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripadanya menerbitkan semula perkataan fitnah itu.
Selain itu, beliau menuntut permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah, kos serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ridwan, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 8 Feb lepas, menafikan beliau menerbitkan status dan gambar dalam Facebook berkenaan seperti yang didakwa plaintif. – BERNAMA