KUANTAN – Ketua jurulatih Perlis, Razip Ismail meletakkan jawatannya selepas kekalahan besar 0-5 kepada Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana malam tadi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat ekoran prestasi buruk yang dipamerkan skuad Singa Utara dalam beberapa perlawanan terdahulu termasuk kekalahan terbaru kepada pasukan berstatus kelab di Stadium Darul Makmur, di sini.
“Dalam perlawanan tadi (malam tadi), bahagian serangan kami tidak mampu menjaringkan gol manakala benteng pertahanan pula gagal untuk bertahan.
“Tiada apa lagi hendak dikatakan, saya amat kecewa dengan prestasi Perlis dan dengan ini saya sahkan bahawa saya meletak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu, semalam.
Difahamkan sebelum ini, Razip pernah menyuarakan hasrat bersedia melepaskan jawatan jika Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak berpuas hati dengan khidmatnya.
Ia berikutan prestasi hambar pasukan Perlis pada awal musim sehingga menyebabkan penyokong tegar skuad itu marah dan tidak berpuas hati.
Perlis kini menghuni kedudukan tercorot dalam liga dengan hanya mengutip dua mata.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria berkata pasukan kendaliannya berada pada landasan yang betul untuk mendaki carta Liga Perdana musim ini selepas menumpaskan Perlis.
“Barisan pemain Kuantan FA telah menyahut cabaran dengan memberi persembahan bersemangat sebagai titik tolak kepada kami untuk terus mara pada saingan liga dan Piala FA.
“Saya tidak menjangka pasukan dapat menjaringkan lima gol tetapi ia merupakan tonik terbaik buat kami,” katanya.
Menurut Zulhamizan, penyerangnya, Nabilah Khan Razali yang meledakkan dua gol memberi dimensi baharu kepada pasukan itu dan berharap pemain itu mampu mengekalkan prestasinya.
Kuantan FA kini menduduki tangga ketujuh liga selepas mengutip 12 mata daripada lapan perlawanan, terikat bersama UiTM FC dan Johor Darul Ta’zim II tetapi berada di bawah dua pasukan itu atas perbezaan gol. – BERNAMA