SEPANG – Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menjadi tumpuan media termasuk media antarabangsa di awal pagi ini untuk menanti ketibaan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Korea Utara sebelum ini.
Lebih 100 pengamal media berada di persekitaran kawasan kompleks berkenaan dengan ada yang tiba seawal 12 tengah malam untuk mendapatkan peluang memasuki kawasan kompleks bagi membuat liputan kepulangan rakyat Malaysia itu.
Pengamal media perlu beratur melalui pemeriksaan oleh polis bantuan untuk mendapatkan ‘gelang khas’ sebelum dibenarkan memasuki kawasan kompleks.
Hanya pengamal media yang mempunyai kad perakuan media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia dan masih sah dibenarkan memasuki kawasan kompleks.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara telah dibenarkan pulang ke tanah air. – BERNAMA