SHAH ALAM – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor melupuskan barangan rampasan bernilai kira-kira RM200,000 hari ini.
Pengarahnya Abdul Rosik Yakub berkata antara yang dilupuskan ialah barangan tiruan merangkumi jersi pasukan bola sepak tempatan, minuman keras dan kasut sukan serta alat penimbang dan peralatan komputer yang digunakan dalam kegiatan cetak rompak.
“Semua barang rampasan itu merupakan bahan bukti dan rampasan daripada 66 kes yang direkodkan bagi tempoh 2014 hingga 2016,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Abdul Rosik berkata kes melibatkan kesalahan antaranya di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Hak Cipta 1987.
Beliau juga berkata pelupusan barangan terbabit dilakukan setiap dua bulan bagi mengelakkan kesesakan di stor simpanan KPDNKK. – BERNAMA