KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,183 unit rumah di bawah program Rumah Bina Negara (RBN) sedang dalam proses pembinaan di sembilan lokasi seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya jumlah itu merangkumi sebahagian daripada 1,675 permohonan yang diterima Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Ismail Sabri berkata Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pula telah meluluskan 158 permohonan RBN daripada 1,626 permohonan yang diterima sehingga kini.
“Sejumlah 81 unit rumah kini dalam pembinaan, manakala 16 unit telah siap,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai jumlah permohonan bagi program RBN mengikut agensi bertanggungjawab iaitu FELCRA dan RISDA serta perkembangan terkini program perumahan itu. – BERNAMA