KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,238 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) melibatkan 23 projek kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap antara 2017 dan 2020.
Sebanyak 25,308 unit Rumawip melibatkan 43 projek pula telah mendapat kelulusan manakala 26,138 unit (44 projek) pula masih di peringkat pertimbangan.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan optimis menyasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan menjelang 2020.
“Kesemua rumah tersebut ditawarkan antara RM198,000 sehingga RM300,000 seunit. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan kediaman pada harga mampu milik kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Adnan menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin tahu jumlah keseluruhan Rumawip yang telah dan sedang dibina sehingga kini.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata bagi tempoh 2013 sehingga 31 Dis 2016, sebanyak 11,627 unit Rumawip melibatkan 19 projek telah dijual.
Katanya daripada jumlah itu, 3,802 unit siap dibina dan diduduki, 6,990 unit telah melalui proses tandatangan perjanjian jual beli manakala 835 unit sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian jual beli.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fauzi yang ingin tahu sekiranya kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan jumlah pembinaan projek rumah mampu milik, Tengku Adnan berkata:
“Kerajaan kini merancang untuk membina rumah transit dikenali sebagai ‘Council Homes’ di Sungai Udang, Segambut dan Sungai Besi yang dikhususkan untuk golongan muda yang baru tamat pengajian atau mendirikan rumahtangga.”
Kira-kira 600 unit rumah akan dibina di Sungai Udang untuk disewa kepada golongan berkenaan dengan kadar harga antara RM300 hingga RM500 sebulan, katanya dan menambah, kerajaan mengenal pasti Taman Mutiara, Wangsa Maju sebagai kawasan baharu untuk dibangunkan di bawah projek rumah transit. – BERNAMA