KUALA LUMPUR – Lebih 550 pempamer aeroangkasa dan maritim dari 36 negara menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang bermula esok.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata LIMA’17 menjanjikan penglibatan lebih bermakna sektor maritim dan penerbangan menerusi pembabitan secara langsung sektor komersial yang lebih besar.
Kementerian Pengangkutan akan membawa 31 jabatan, agensi dan pemain industri ke LIMA’17 bagi menyediakan gambaran menyeluruh akan industri pengangkutan di negara ini serta peranan kementerian sebagai pemudah cara industri, katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Liow berkata kementerian itu akan menganjurkan edisi kedua Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN bertemakan ‘Global Sustainable Green Aviation’ (Penerbangan Hijau yang Mampan Global).
Sidang kemuncak yang dianjurkan bersama Jabatan Penerbangan Awam itu dijangka disertai lebih 250 perwakilan tempatan dan antarabangsa, katanya.
Penganjuran sidang kemuncak itu juga tepat pada masanya susulan penerimaan Global Market-Based Measures oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada sesi ke-39 perhimpunan agung ICAO baru-baru ini.
Antara penceramah utama pada sidang kemuncak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura Kevin Shum. – BERNAMA\