LAHAD DATU – Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai memiliki senapang patah buatan sendiri bersama peluru senjata api lain secara haram dalam serbuan Ops Cantas di sebuah rumah di Kampung Silabukan, Tungku dekat sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 9 pagi selepas polis menjumpai satu laras senapang (bakakuk) bersama dua butir kelongsong peluru berwarna hijau 12 bore, termasuk satu batang paip besi menyerupai laras senapang di rumahnya.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang lesen senjata api yang sah dan senapang itu disyaki digunakan untuk aktiviti pemburuan haram,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti penjualan peluru senjata api dalam kalangan pemilik lesen senjata api.
“Jika didapati pemilik lesen menjalankan kegiatan menjual peluru dan senjata api kepada individu lain, pembatalan lesen pemilikan senjata api berkenaan akan dilakukan,” katanya.
Dalam kes berasingan pada Isnin lepas, polis menahan seorang lelaki warga Filipina di sebuah rumah di Kampung Pokok Mangga selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di Jalan Dam.
“Susulan kecurian itu, SESB menanggung kerugian RM3,000 dan polis merampas kulit-kulit kabel curi yang telah dibelah manakala tembaga kabel berkenaan dikeluarkan dipercayai untuk dijual oleh suspek,” katanya.
Hamzah berkata siasatan lanjut turut mendapati dua rakan suspek yang terlibat dalam kes curi itu masih bebas. – BERNAMA