SEORANG lelaki berusia 25 tahun dari Sulawesi, Indonesia ditemui maut ditelan seekor ular sawa sepanjang empat meter.
Mangsa; Akbar Salubiro dilaporkan hilang pada 26 Mac selepas keluar bekerja di ladang sawitnya jam 9 pagi pada hari kejadian.
Akbar kemudiannya dilaporkan tidak pulang ke rumah keesokan harinya dan satu pencarian dilakukan oleh warga kampungnya.
Hasil pencarian itu berjaya menemui seekor ular sawa kekenyangan di laman belakang rumah Akbar dengan perut yang ‘membukit’.
Pelik dengan saiz perut reptilia itu yang luar biasa besar, warga kampung itu bertindak membelahnya dan mendapati sekujur tubuh kaku di dalamnya.
Menerusi video berdurasi dua minit itu,kelihatan warga kampung membelah perut ular sawa tersebut dan mendapati mayat Akbar di dalamnya lengkap berbaju dan seluar pendek.
Menurut jiran Akbar iaitu Satriawan, “Dia ditemui di laman rumahnya.
“Akbar keluar untuk memungut kelapa sawit dan dilaporkan tidak pulang ke rumah, warga kampung keluar mencarinya.”
Setiausaha kampung; Salubiro Junaidi pula memberitahu, warga kampungnya ada mendengar teriakan pada malam Akbar hilang sebelum ditemui dalam perut ular sawa berkenaan.
“Apabila reptilia itu ditangkap, jelas kelihatan but yang dipakai Akbar pada perut ular sawa tersebut.
“Warga kampung bertindak memotong perut ular sawa itu dan mendapati Akbar sudah tidak bernyawa.”
Isteri Akbar; Munu tiada di rumah sewaktu kejadian dan hanya mendapat perkhabaran mengenai suaminya menerusi gambar dan video yang tersebar di laman media tempatan.
Akbar meninggalkan seorang isteri dan dua anak. – MYNEWSHUB.CC