JIJIK….lelaki ini tidak pernah memotong kuku selama 35 tahun. Bayangkan bagaimana dia melakukan aktiviti harian dengan kuku sepanjang 55cm itu.
Namun Luu Cong Huyen, 58, yang berasal dari Vietnam ini gembira dengan keadaan itu malah dia sengaja membiarkan kuku itu panjang.
Walaupun Huyen gembira, namun isterinya, Nguyen Thi Thuan adalah orang yang paling sengsara dengan keadaan tersebut.
Ini kerana dia perlu membantu suaminya mandi dan terpaksa menyuapkan makanan kepada suaminya kerana Huyen enggan memegang sudu disebabkan dia bimbang kukunya itu patah.
Disebabkan ketakutan kuku itu akan menjadi rosak, Huyen juga jarang mandi. Dia juga tidur berasingan dengan isterinya kerana bimbang jika wanita itu menghempapnya maka kuku kesayangannya itu akan patah.
“Memelihara kuku lebih sukar daripada menjadi bapa. Saya perlu berhati-hati dalam setiap pergerakan agar kuku saya tidak patah,” katanya.
Disebabkan kuku itu juga, Huyen menjadi terkenal di Vietnam namun bukan semua orang teruja dengan kukunya itu malah ada yang menggelar ia sebagai kuku setan. – MYNEWSHUB.CC