JOHOR BAHRU – Sebuah lori membawa muatan tong gas terbalik dan melintang di Kilometer 43 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Sedenak, menyebabkan laluan berkenaan tertutup terus kepada pengguna lebuh raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian yang berlaku kira-kira 3.40 petang tadi, mengakibatkan tong gas bertaburan di atas jalan raya.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila tayar lori berkenaan tiba-tiba pecah dan mengakibatkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbalik.
“Pengguna yang ingin menuju ke utara dinasihatkan keluar dari Tol Senai atau Kulai atau Sedenak dan melalui Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan boleh masuk kembali melalui Tol Simpang Renggam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata insiden itu juga menyebabkan sebuah kereta jenis BMW remuk di bahagian hadapan ketika cuba mengelak lori berkenaan.
“Pemandu lori terbabit mengalami luka melecur, manakala pemandu BMW pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kerja-kerja mengalihkan lori berkenaan masih berjalan. Pihak bomba juga menaburkan serbuk kayu di lokasi kemalangan bagi menyerap minyak yang tumpah di atas jalan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas. Mangsa telah dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk menerima rawatan, katanya. – BERNAMA